Wednesday 23 October 2019

Pendakwaan Gagal Bukti Kes, Najib Berhak Bebas, Kata Peguam


KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes salah guna kuasa terhadap Najib Razak kerana penglibatannya dalam memberikan jaminan kerajaan kepada SRC International bagi mendapatkan pinjaman RM4 bilion dari dana pesara bukan amalan rasuah, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Harvinderjit Singh berkata sebahagian besar keterangan itu tidak menunjukkan sebarang hubungan antara penglibatan bekas perdana menteri dalam menyediakan jaminan dan RM42 juta yang dipindahkan ke akaun bank peribadi pada 2014 dan 2015.

“Malah, keterangan itu membawa kepada kesimpulan munasabah bahawa transaksi melibatkan RM42 juta itu dilakukan tanpa pengetahuan dan penglibatan Najib,” katanya dalam penghujahan di penghujung kes pendakwaan.

Harvinderjit berkata transaksi RM42 juta itu dilakukan atas perintah orang lain untuk tujuan dan manfaat sendiri.

“Wang itu tidak boleh dikatakan sama seperti suapan sebagai pertimbangan untuk menggunakan jawatan Najib,” katanya.

Beliau berkata tiada konflik kepentingan oleh Najib, yang ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan, kerana semua keputusan diambil berkaitan dengan SRC, syarikat bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).


Harvinderjit berkata anggapan bahawa anak guam menerima wang rasuah bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak terpakai kerana suapan dalam konteks aturan rasuah belum dipenuhi.

Beliau berkata pecah amanah jenayah juga tidak terbukti kerana Najib bukan ejen SRC.

“Najib tidak memainkan peranan dalam hal ehwal operasi SRC selaku menteri kewangan. Tindakan MKD sebagai sebuah perbadanan adalah berasingan dan berbeza daripada menteri kewangan,” katanya.

Beliau berkata keterangan juga tidak membuktikan Najib atas kapasiti sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC diamanahkan dengan kuasa ke atas dana syarikat.

“Keterangan tidak membuktikan sebarang pengamanahan atau kekuasaan ke atas RM42 juta itu,” katanya.

Harvinderjit berkata tuduhan pengubahan wang terhadap Najib musnah kerana pendakwaan gagal membuktikan kesalahan predikat salah guna kuasa dan penggelapan dana.

“Oleh kerana aktiviti salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah yang menyalahi undang-undang itu tidak boleh dibuktikan, tuduhan pengubahan wang juga tidak boleh diterima,” katanya.

Peguam berkata Najib berhak dibebaskan tanpa membela diri.

Beliau berkata penilaian maksimum keterangan dalam kes pendakwaan tidak membuktikan kesimpulan bahawa Najib melakukan kesalahan-kesalahan itu.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang berkaitan RM42 juta yang dikatakan dana SRC International.

Sumber: FMT


from Sehinggit Media News https://ift.tt/33WjZ84
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2W944AK
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment