TIUB dimasukkan melalui rongga hidung terus ke usus menyebabkan kanak-kanak berusia dua tahun ini tidak punya daya untuk menangis lagi dan hanya terbaring sepanjang masa.
Nur Iman Fitriah Abdullah menghidap penyakit sawan saraf yang menyebabkan dia diserang sawan antara tujuh hingga sembilan kali sehari dan perlu bergantung hidup dengan mesin bantuan oksigen.
Malah, kanak-kanak ini pernah koma selama dua minggu gara-gara tidak mendapat oksigen yang cukup, selain ruang pada mulutnya yang tertutup memerlukan dia makan dan minum melalui ‘feeding tube’ yang disalurkan melalui hidung ke ususnya.
Disebabkan itu, ibunya, Nurul Ashafiqah Azlan, 23, dan bapanya, Azhar Ali, 36, terpaksa berulang-alik ke hospital setiap minggu bagi mendapatkan rawatan dan memenuhi temujanji dengan pelbagai pakar bagi mengubati Nur Iman Fitriah.
Memburukkan lagi keadaan, Nurul Ashafiqah dan Azhar dibuang kerja pada pertengahan tahun lalu memandangkan kedua-duanya terlalu banyak cuti kecemasan untuk menguruskan Nur Iman Fitriah.
Nurul Ashafiqah berkata, anaknya mula mengalami penyakit sawan kronik sejak berusia tiga bulan yang mana anak sulung daripada dua beradik itu kerap mengalami kekejangan selain muka akan kebiruan.
“Dengan pendapatan sebagai pekerja sebuah kedai serbaneka sebelum ini kami berusaha untuk mendapatkan rawatan Nur Iman. Namun, kami berdua dibuang kerja kerana selalu cuti kecemasan bagi menguruskannya.
“Bagi menampung perbelanjaan hidup dan membayar kos rawatan Nur Iman, kami menjual tauhu begedil dan popia. Namun, untuk permulaan kami tidak mempunyai modal.
“Saya dan suami mengutip tin, kotak dan pelbagai barang terbuang yang boleh dijual untuk dijadikan modal perniagaan sebelum berjaya memulakan perniagaan makanan berkenaan yang mampu memperolehi pulangan antara RM500 hingga RM900 sebulan,” katanya ketika ditemui.
Nurul Ashafiqah berkata, bagaimanapun pendapatan itu tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian dan kos merawat Nur Iman memandangkan anaknya itu perlu minum susu khas yang memerlukan kos sebanyak kira-kira RM500 sebulan.
“Nur Iman tidak boleh makan dan minum kerana rongga mulutnya tertutup. Dia makan dan minum melalui tiub yang disalurkan melalui hidung, selain perlu minum susu khas.
“Dia hanya mampu terbaring sepanjang masa dan tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak lain, malah tidak lagi menangis ketika memasukkan tiub melalui hidung selain dia kini tidak boleh melihat kerana mengalami rabun kronik.
“Setiap bulan kami juga perlu membelikan tiub yang berharga RM100 selain perlu menanggung kos pengangkutan ulang-alik ke hospital memandangkan suami hanya memiliki motosikal.
“Ketika ini sewa rumah kami juga sudah tertunggak sejak kira-kira setahun lalu,” katanya yang tinggal di Pangsapuri Seri Perdana, Paroi di Seremban.
Menurut Nurul Ashafiqah, dia ada menerima tempahan tauhu begedil daripada tiga kedai, namun tidak boleh membuat makanan itu dalam kuantiti banyak kerana peti sejuk bekunya yang bersaiz kecil.
“Saya berharap ada pihak atau agensi yang mahu membantu kami untuk menyumbang sama ada dari segi kewangan atau barangan seperti peti sejuk beku yang lebih besar bagi melebarkan perniagaan kami,” katanya.
Orang ramai atau pihak tertentu yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun BSN Nurul Ashafiqah 0511241000206952 atau boleh menghubunginya di talian 0176796954.
Sumber: https://ift.tt/2TP95R3
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2Pu4bW7
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/31Y0omA
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment