Sunday 6 October 2019

Kongres Maruah Melayu Gesa Kerajaan Mansuh Sekolah Vernakular


SHAH ALAM: Kongres Maruah Melayu hari ini menggesa kerajaan memansuhkan sistem sekolah vernakular dalam masa enam tahun kerana didakwa tidak mampu memupuk integrasi nasional di kalangan pelajar berbilang kaum.

Pembentang resolusi kluster pendidikan yang merupakan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim berkata kerajaan perlu terus komited kepada agenda memperkasakan sekolah kebangsaan.

“Hanya sekolah satu aliran saja yang dapat mendidik serta memupuk integrasi nasional di kalangan generasi seterusnya yang bakal mewarisi negara ini.


“Pemansuhan sekolah vernakular dalam tempoh enam tahun bertepatan kerana pendidikan telah dikenal pasti sebagai satu kunci utama kepada perpaduan,” katanya ketika membentangkan resolusi itu di Kongres Maruah Melayu.

Beliau berkata, resolusi itu boleh menjadi kenyataan jika kerajaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah.

“Gunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk murid tahun satu pada 2021, tahun dua untuk 2022 dan seterusnya sehingga 2026. Menjelang 2026, semua sekolah menjadi satu aliran.”

Katanya, kongres itu turut mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam kembali menawarkan biasiswa kepada pelajar Melayu dan Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau berkata, Petronas dan Bank Rakyat juga perlu menawarkan biasiswa kepada orang Melayu dan Bumiputera saja.

Sumber: FMT


from Sehinggit Media News https://ift.tt/31OcOhH
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2Vk6ewV
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment