HANCUR badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua. Peribahasa yang tepat menggambarkan kisah Pak Din, seorang pengawal keselamatan yang secara tiba-tiba menjadi ‘trending’ di laman sosial Twitter selepas meninggal dunia semalam.
Hingga ke hari ini, beribu-ribu ciapan membanjiri laman sosial tersebut dengan rata-rata menzahirkan ucapan takziah, rasa sedih selain mengimbas kenangan bersama Pak Din – nama sebenar Kamarudin Basri.
Pak Din, 67, yang telah bertugas hampir 20 tahun di Sekolah Kebangsaan dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur semalam kerana komplikasi kesihatan akibat masalah jantung dan leukemia.
Anaknya Zulzailiza Kamarudin, 36, berkata beliau tidak menyangka kematian ayahnya menjadi satu topik dalam kalangan netizen, terutamanya bekas pelajar sekolah dan anggota keluarga mereka yang berkongsi berbagai-bagai kisah mengenai sikap prihatin ayahnya sepanjang bertugas di sekolah itu.
“Saya memang tak sangka benda ni boleh jadi besar (viral),” katanya.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan CBN Rosemand A. Lawrence pula berkata kehilangan Pak Din benar-benar dirasai oleh semua warga sekolah termasuk guru dan pelajar.
“Kami merasakan kehilangannya. Pelajar (perempuan) amat menyayangi beliau. Kepergiannya satu kehilangan besar kepada sekolah ini,” katanya.
Guru Bahasa Melayu di SMKCBN Nor Aini Mohd Hol, 57, pula menyifatkan Pak Din sebagai hero CBN kerana beliau bukan sahaja pengawal keselamatan yang cukup dipercayai oleh ibu bapa tetapi turut disayangi guru dan murid kerana kemuliaan hatinya.
“Warga CBN memang mengharapkan kehadiran Pak Din setiap hari mengawal lalu lintas sepanjang Jalan Bukit Nanas, malah Pak Din juga membantu membaiki kerosakan, menggantung bendera, membaiki kereta yang sukar dihidupkan atau tayar pancit, dan sebagainya,” katanya.
Bekas pelajar, Shaza Mhd Husam Eddin Al Muzayen, 24, mengimbau kenangan sepanjang mengenali Pak Din selama lima tahun bersekolah di situ dari 2008 hingga 2012, dan menyifatkan Pak Din sebagai insan yang murah dengan senyuman.
Katanya, Pak Din cukup terkenal dengan tiupan wiselnya yang amat nyaring dan kadang-kala meniup wisel hanya kerana hendak bergurau dan membuat pelajar serta guru terkejut, dan kemudiannya ketawa. – Bernama
from Sehinggit Media News https://ift.tt/33ii7pT
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3128ABO
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment