Tuesday, 6 October 2020

Tan Sri Muhyiddin Akui PRN Sabah Punca Peningkatan Kes Jangkitan COVID-19

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

Perdana Menteri berkata, hakikat itu sukar dielakkan berikutan PRN Sabah perlu diadakan seperti dijadualkan mengikut peruntukan di dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak ketika pilihan raya diadakan, malangnya ada yang tidak dipatuhi.

"Misalnya penjarakan sosial. Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi.

"Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak," katanya ketika Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Mengimbas ketika kempen PRN Sabah, Muhyiddin berkata, beliau sendiri terpaksa membuat SOP sendiri bagi memastikan dirinya terhindar daripada jangkitan Covid-1.

"Saya datang dengan kereta terus ke pentas tanpa melalui khalayak ramai. Ketika mula berucap, saya peringatkan semua yang hadir supaya patuhi SOP yang ditetapkan.

"Duduk jangan rapat-rapat, pakai pelitup muka dan sentiasa basuh tangan atau gunakan sanitizer.

"Setelah habis berucap, saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah. Dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa," katanya.

Beliau turut mengingatkan pegawai-pegawainya supaya tidak mengatur kempen di kawasan Zon Merah walaupun menerima undangan.

"saya terpaksa tolak dengan baik. Ya, kalau diikutkan saya ingin berkempen di semua tempat, tetapi saya juga memikirkan tentang kesihatan dan keselamatan orang ramai yang hadir ke tempat berkempen, pegawai saya dan diri saya sendiri.

"Namun, hakikatnya telah ada mereka yang dijangkiti Covid-19 ketika berada di Sabah. Ini sesuatu yang amat mendukacitakan," katanya.

Sumber: Harian Metro



from Sehinggit Media News https://ift.tt/33BCdyi
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/34xMyKV
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment