Saturday, 10 October 2020

InsyaAllah, Anwar Akan Berjaya Jadi Perdana Menteri Kita Yang Baharu Nanti - Pak Salim

“Insya-ALLAH, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya jadi Perdana Menteri kita yang baharu nanti. Aku yakin benar dengan dia. Lagipun apa salahnya kita beri peluang,” kata Pak Salim. Saya sempat bertemu dengannya ketika saya ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat baru-baru ini.

Seperti biasa, Pak Salim akan melangut di wakaf hadapan pondok pengawal merenung masa depan agaknya. Di sebelahnya pula kawan setia, Imam Halim.

“Tunggu-tunggulah dulu. Janganlah gelojoh. Sekarang tengah wabak, kenapa kalut nak jadi PM?” tanya Imam Halim. Biasanya begitulah, ada Pak Salim mesti ada Imam Halim. Warga emas pencen yang sentiasa berfikir tentang negara.

“Anwar dah banyak menderita. Dari dulu lagi dia sepatutnya jadi Perdana Menteri. Dah banyak kali pe-luang dia dirompak. Macam-macam perkara terjadi. Memang dia layak,” sahut Pak Salim bertegas.

“Ya, tapi sekarang tengah wabak. Aku risau takut nanti kerajaan sekarang bubar, kemudian kena pilihan raya dan rakyat kena mengundi. Aku ini mengundi di kampung. Kali ini tak mengundi pun tak apalah,” kata Imam Halim.

“Pak Salim pasti Anwar ada majoriti?” tanya saya menghangatkan suasana. Pandangan orang lama perlu didengar. Orang yang banyak pengalaman dan makan garam lebih awal.

Dahi Pak Salim berkerut.

“Aku pasti kali ini Anwar akan berjaya dan aku pasti dia mempunyai majoriti cukup,” kata Pak Salim.

“Ya ke Pak Salim? Tidak percayalah saya. Hanya lakonan kot seperti Langkah Sheraton. Akhirnya jadi makan malam sahaja. Jatuhnya kerajaan sebab Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan.” Imam Halim menjuih-kan bibir mengejek.

Pak Salim tenang sahaja. Tidak tergugat dengan provokasi Imam Halim. Dengan tenang juga menyambung menyedut teh ais ikat tepi. Sesekali terbatuk-batuk mungkin tersedak air bercampur asap rokok.

“Mungkin nanti Anwar pun berjumpa untuk makan malam,” kata Imam Halim lagi sambil ketawa terbahak-bahak. Tiba-tiba dia berhenti ketawa apabila Pak Salim menjeling tajam.

“Aku pasti ada dokongan yang kuat. Aku tidak tahu siapa tetapi majoriti ini mungkin ada yang tidak menyangka apabila terdedah nanti dan kerajaan yang akan dibangunkan oleh Anwar adalah kerajaan yang kuat serta stabil,” jawab Pak Salim dengan tegas.

Rakyat

Imam Halim sekali lagi ketawa dengan kuat. Matanya terpejam ketika ketawa. Sambil dikesat air mata yang keluar disebabkan ketawa yang melampau. Pak Salim terus menengking.

“Engkau ni kenapa?’ Imam Halim sekali lagi terdiam.

Saya bertanya lagi kepada Pak Sa-lim. “Baru-baru ini pun ada tular dalam WhatsApp, katanya, ada seorang Sheikh memberitahu Anwar akan jadi Perdana Menteri cuma tidak dinyatakan bila.”

“Insya-ALLAH,” jawab Pak Salim sambil mengurut janggutnya yang putih.

“Aku rasa elok tumpu kepada masalah rakyat. Nanti kalau kena kurung, susahlah rakyat,” kata Imam Halim.

“Kau tak baca berita ke? Bukankah tidak akan buat PKP, tempat yang tertentu sahaja,” jerit Pak Salim meradang dengan sikap Imam Halim yang suka menyindir.

Imam Halim tersenyum kelat. Dia cuba mencapai rokok daun Pak Salim tetapi ditepis tangannya dengan kuat.

“Beli sendirilah!” tengking Pak Salim. Imam Halim mencebik bibir.

“Tapi bukankah ada dalam wawancara akhbar Sinar Harian baru-baru ini memberitahu yang Sheikh menasihati tidak sesuai untuk dia ambil alih,” kata saya lagi.

“Itu dulu. Sekarang Sheikh dah kata boleh,” jawab Pak Salim tersenyum.

Saya hanya mengangguk-angguk. Bukan apa, cuma takut pisang berbuah dua kali atau mungkin sudah tiga empat kali. Kata pepatah lama ‘takut sekali lagi terpegang di abu hangat’.

Sumber: Faisal Muhamad - Sinar Harian



from Sehinggit Media News https://ift.tt/3lwHZYq
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3nx2KVL
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment