Friday, 1 November 2019

Anak Perempuan Banyak Tiru Perwatakan Ibunya. Rajin Ibu Rajinlah Anak


Mendidik anak bukan satu tugas yang mudah. Anak-anak akan jadikan ibu bapanya sebagai cerminan mereka. Jika sikap baik ditunjukkan maka baiklah tapi jika ada sedikit kesilapan itulah juga yang anak akan ikut.

Dalam mendidik anak sama ada lelaki atau perempuan ada cabarannya. Jika anak perempuan hanya titikberatkan cantik saja tak cukup. Kena pastikan juga anak perempuan bijak dan konfiden.

Berikut cara untuk mendidik anak perempuan untuk jadi bijak dan berkeyakinan.

1. LAYAN ‘KEPETAHAN’ MEREKA

Kebanyakan anak perempuan memang petah bercakap. Menurut kajian, anak perempuan umumnya lebih cepat bercakap berbanding anak lelaki, di mana pada usia 16 bulan anak perempuan dikatakan mampu mengucapkan 100 perkataan secara purata berbanding sekitar 30 perkataan bagi anak lelaki.

Dengan melayan mereka berbual dan menjawab soalan, anda telah menggalakkan keyakinan diri dalam anak kecil secara tidak langsung. Tindakan ini juga boleh memperkuatkan keinginan untuk terus meneroka.

2. AMBIL KIRA PENDAPAT MEREKA

Dunia anak kecil penuh imaginasi. Ada kalanya mereka memperkatakan sesuatu yang dianggap tidak masuk akal. Tapi, jangan sesekali memperkecilkannya. Sebaliknya, cuba wujudkan ruang untuk berfikir secara kritis dengan mengatakan “Kenapa tidak?”, atau tunjukkan minat anda dengan memintanya menjelaskan lebih lanjut tentang perkara tersebut.

Bayangkan jika anda membentak mereka dan memberitahu bahawa semua itu karut. Mereka akan berasa malu dan tidak mahu diperlekehkan lagi. Insiden seperti ini boleh menjadikan mereka cenderung berasa rendah diri dan kurang teruja untuk meneroka benda baru di sekeliling mereka.

3. TIDAK MENGEHADKAN KREATIVITI & MINAT MEREKA

Ambil serius terhadap minat dan kreativiti mereka. Tidak perlu terikat pada stereotaip – contohnya perempuan mesti pandai memasak, membuat kuih, atau bersolek. Sebaliknya, galakkan mereka menjadi diri sendiri.


Beri mereka buat pilihan terhadap minat mereka sendiri. Jika anak suka berenang, bawalah mereka selalu berenang atau masukkan mereka ke kelas renang. Sekiranya anak suka membaca, sediakan mereka bahan bacaan yang secukupnya dan bawalah mereka selalu ke perpustakaan. Walaupun anak anda seorang yang kelihatan ‘girly’, siapa tahu mereka sebenarnya sukakan adventure dan minat membaca atlas?

Malah, jika anak suka memanjat sekalipun, tak salah kalau libatkan mereka dengan sukan ekstrem seperti wall climbing dan sebagainya. Menurut penelitian, anak-anak yang diasah bakatnya sejak kecil akan mempunyai daya keyakinan diri yang lebih positif.

4. GALAKKAN MEREKA BERDIKARI

Dalam hal ini, cara mendidik anak perempuan sebenarnya tidak banyak bezanya dengan anak lelaki. Galakkan mereka belajar menguruskan diri sendiri dan mempunyai sikap prihatin terhadap sesama ahli keluarga.

Di samping itu, beri kepercayaan kepada anak perempuan untuk turut membantu tugas yang dibuat oleh ayah. Contohnya, mencuci kereta, membaiki paip yang rosak, atau berkebun. Selain menggalakkan waktu ‘bonding’, anak juga dapat meneroka minat yang baru

5. ELAKKAN SEKADAR MEMUJI PARAS RUPA

Salah satu cara mendidik anak perempuan yang berkesan adalah dengan mempraktikkan teknik memuji yang sebetulnya.

Jika selama ini kita asyik cakap, “Cantiknya anak Mama/Papa,” cuba ubah pujian ini ke arah yang lebih membina supaya mereka tidak terlalu fokus terhadap kecantikan luaran.

Sebaliknya, banyakkan memuji usaha mereka dalam menjayakan sesuatu perkara. Anak-anak perlu tahu secara terperinci apakah perbuatan yang menyebabkan anda berasa bangga dengannya. Dengan cara ini, mereka dapat belajar dan mengembangkan sesuatu kemahiran dengan lebih baik.

6. PERANAN AYAH BERI IMPAK YANG BESAR

Para pengkaji mendapati bahawa anak perempuan yang mempunyai hubungan erat dengan bapa mereka adalah lebih berkeyakinan tinggi dan berani menyahut cabaran untuk mencuba perkara baru. Apabila seorang ayah melayan kaum wanita dengan baik dan penuh hormat, anak perempuan juga akan belajar untuk menghargai diri mereka seadanya.

Jika seorang anak perempuan mempunyai seorang lelaki dalam hidupnya yang membuatnya selesa untuk menjadi diri sendiri, bergurau, menunjukkan bakat, berkongsi perasaan, dan menyatakan pendapatnya, mereka tidak akan perlu mencari ‘lelaki lain’ untuk membuatnya berasa istimewa.

7. IMBANGKAN DENGAN SUPERHERO PEREMPUAN

Sukar untuk kita menepis kuasa media kerana memang naluri anak-anak kecil cepat tertarik dengan animasi dan kartun. Tapi, kita sebagai ibu bapa boleh memainkan peranan untuk memantau apa yang mereka tonton.

Elakkan kartun-kartun yang kurang kontennya dan hanya bersandarkan kepada konsep ‘fairy tale’ atau ‘happy ever after’. Antara contoh kartun yang mempunyai mesej ‘girl power’ adalah Zootopia, The Incredibles, Brave, Dora The Explorer dan banyak lagi.

8. BERI RUANG PRIVASI

Dengan memberi ruang privasi, anak perempuan lebih mudah untuk diajar berdikari, contohnya; mengemas katil sendiri, menyimpan mainan di tempatnya, dan menulis di meja tulisnya.

Apabila anak perempuan semakin membesar, mereka akan cenderung untuk menjadi lebih senyap, kritikal terhadap diri sendiri, dan kurang konfiden terhadap imej diri. Dengan adanya ruang privasi, anak-anak boleh belajar mengawal emosi sambil dipantau oleh ibu bapa.

9. AJARKAN TENTANG ‘HAL WANITA’

Sebagai seorang ibu, jangan terlalu lengah untuk menerangkan tentang hal-hal wanita kepada anak. Antaranya perkara terawal yang perlu disentuh adalah bab berkaitan aurat. Jadikan ia sebagai sesuatu yang santai dan tidak memberatkan. Jangan sekadar melarang dan memberi amaran keras, tetapi mulalah dengan menceritakan kelebihannya.

Apabila anak sudah masuk usia sekitar 8-9 tahun, jangan kekok untuk bercerita kepada anak tentang haid, mandi wajib, serta hal-hal lain yang berkaitan agar mereka lebih bersedia menghadapi alam keremajaan.

-ANAK PEREMPUAN BANYAK MENIRU PERWATAKAN IBUNYA-

Cara mendidik anak perempuan tidak hanya terhad kepada apa yang kita ajarkan, tetapi juga apa yang kita cerminkan. Menurut kajian, kebanyakan anak perempuan seawal usia 7 tahun mengakui bahawa keperibadian ibu mereka memainkan peranan besar dalam cara mereka melihat diri mereka sendiri.

Oleh itu, sentiasalah berfikiran positif hargai setiap kelebihan diri masing-masing. Elakkan memandang cermin dan ‘mengutuk’ diri sendiri sebagai gemuk atau tak cantik. Tanpa disedari, ia boleh membawa mesej yang mendalam pada diri si anak perempuan!

Sumber: Kelab Soal Jawab Ibu & Bakal Ibu Comel via www.majalahpama.my


from Sehinggit Media News https://ift.tt/338eBPf
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/34k8zet
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment