Saturday, 24 February 2018

Bekas Gitaris Ukays Kini Pemimpin Kanan IS


Bekas gitaris kumpulan Ukays, Akel Zainal, kini salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menjadi pemimpin kanan pengganas Islamic State (IS), menurut laporan Harian Metro hari ini.

Tiga lagi adalah bekas pengikut kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) Mohd Rafi Udin dan dua individu yang hanya dikenali dengan nama Abu Gomez dan Abu Zar.

Mohd Rafi Udin mencetuskan kegemparan dua tahun lalu apabila mengeluarkan amaran menerusi rakaman video akan melancarkan serangan di Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (gambar) berkata, empat individu itu memainkan peranan merekrut anggota baru di Asia Tenggara selepas kematian Ketua Militan Malaysia Muhamad Wanndy Mohamad Jedi pada Julai lalu.

"Mereka menyebarkan propaganda termasuk dakyah ideologi radikal menerusi pelbagai platform termasuk bahan bacaan," katanya seperti dipetik.

Beliau berkata selain majalah propaganda IS bernama Dabiq yang dapat dimuat turun di internet, kumpulan militan itu juga menyebarkan ideologi menerusi aplikasi seperti Telegram.

Akel atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal mula menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria dan malah turut ke sana untuk menyertai perang.

Pada Oktober 2014, dia dilaporkan giat merekrut wanita khususnya pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk ke Syria dan bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Syamimi Faiqah lari ke negara itu untuk berkahwin dengannya.

Sumber: Malaysiakini.com


from Sehinggit Media http://ift.tt/2BMSzXA
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2oojzF4
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment