Tuesday, 29 August 2017

Panas Isu “Ulat Tiket”. Ini HUKUM Dan Jawapan Ustaz Zaharuddin


Semenjak semalam lagi ramai rakyat Malaysia bercakap tentang tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea 2017 yang habis jualannya awal dari yang dijangka. Tapi apa yang menyedihkan adalah apabila ada sesetengah orang atau “ulat tiket” yang mengambil kesempatan di atas apa yang terjadi.

Jadi dari segi hukum dalam Islam, apa hukum seseorang ‘Ulat’ menjual tiket dengan lebih tinggi dari harga asal ? Contohnya tiket final bola sepak sukan sea, tiket bas untuk balik hari raya dan lain-lain. Jom teliti jawapan kami sudah ringkaskan yang dipetik dari Facebook Ustaz Zaharuddin Abd Rahman.

Jika tiket untuk memasuki sesuatu pertandingan maka harganya mestilah dikawal oleh harga pasaran sebenar oleh pihak pengeluar tiket. Jika ada seseorang yang beratur panjang dengan niat menjadikan tiket terbabit sebagai barang niaga yang berpotensi memberikan pulangan besar, maka perlu dilihat :

a. Sekiranya tiket itu mewakili khidmat yang asasi seperti pengangkutan awam yang terhad. Maka membeli untuk menyimpannya secara sengaja bagi menyebabkan permintaan dan orang ramai memerlukannya bersangatan lalu sengaja menaikkan harga melebihi paras normal, ia termasuk dalam pengharaman disebabkan wujudnya elemen ‘Ihtikar’.

b. Jika tiket itu mewakili sesuatu yang bukan asasi seperti pertandingan sukan yang tiada termasuk dalam kategori haram dan yang sepertinya, tindakan membeli tiket oleh sebahagian individu untuk dijual di pasaran bebas dengan harga lebih tinggi perlu melihat beberapa perkara antaranya :

Adakah terdapat undang-undang di negara terbabit yang melarangnya serta anggapnya sebagai kesalahan?

Jika ada maka hukum fiqh akan turut menganggapnya sebagai SALAH dan HARAM disebabkan peraturan neutral yang ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah. Ia berdasarkan ayat yang melarang menyalahi hukum ditetapkan oleh pemerintah dalam hal yang neutral dan membawa kebaikan.

Jika tiada, maka tindakan terbabit adalah HARUS namun perlu melihat kadar peratusan peningkatan harga berbanding harga pasaran itu setakat berapa peratus?

Menurut para ulama mazhab, menjual sesuatu barang yang neutral dengan harga yang melebihi pasaran biasa, boleh jatuh ke dalam elemen ‘Ghabn’ (harga terlebih tinggi dari pasaran atau terlebih rendah).

Ulama membuat perbincangan panjang tentang ‘Ghabn’ yang menunjukkan terdapat jenis ‘Ghabn’ yang disepakati haramnya oleh ulama, ada yang disepakati halalnya, dan terdapat yang diperbezakan pandangan.

Dalam kes tiket pertandingan tadi, ertinya menurut ijtihad hukum oleh ulama silam, ia boleh jatuh HARAM jika melebihi 1/3 atau 33 % lebih tinggi dari harga pasaran menurut panduan mazhab Maliki. Namun ia tetap HARUS berdasarkan mazhab Al-Syafie. Manakala Mazhab Hanafi meletakkan jika melebihi 5% jika ia barang dagangan biasa, 10 % jika barangan itu adalah binatang, 20 % jika ia adalah hartanah. Semua yang melebihi peratusan itu dikira ghabn yang besar.

KESIMPULAN

DILARANG hukumnya menjual tiket kepada suatu servis yang asasi seperti pengangkutan awam di musim perayaan tertentu dengan harga tinggi, atas alasan ia mempunyai unsur Ihtikar yang diharamkan. Ia juga disebabkan oleh elemen menyebabkan kemudaratan harta pembeli yang sepatutnya layak membeli secara normal dari kaunter dengan harga biasa, tetapi kini seolah terpaksa berbelanja lebih untuk barang yang sama disebabkan sindiket ‘ulat tiket’.

DIHARUSKAN menurut majoriti ulama untuk menjual sesuatu barang biasa termasuk tiket lebih tinggi dari harga pasarannya selagi mana tiada undang setempat yang melarang serta ia bukan pula termasuk di dalam hal perkara keperluan asasi. Benar terdapat sebahagian ulama yang mensyaratkan tidak lebih dari 20 % dan ada juga yang meletakkan 33 % sebagai ukur rujuk elemen ‘ghabn’ yang besar. Namun semua peratusan ini tidak mempunyai sebarang sandaran yang jitu.

Share jika bermanfaat 

Sumber: Laicikang.com


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2vG74We
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2xtIVEH
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment