Monday 3 July 2017

"Biarlah Apa Orang Nak Kata, Bagi Anak Perempuan Free-lah... Saya Tak Kisah" - Ayah


TIADA persalinan gah.
Tiada persandingan.
Tiada hantaran beribu.
Tiada dulang berbaris.
Tiada jemputan.
Tiada kenduri-kendara.
Majlis pernikahan pun tiada.
Hanya akad nikah semata.

Tiada belanja besar untuk hari bahagia pasangan berusia awal 20-an dari Cheras.

Pernikahan itu berlangsung di Masjid An-Najihin, Bandar Sri Permaisuri dan dihadiri keluarga terdekat dan rakan-rakan pasangan muda itu.

Hanya sebentuk cincin dan manisan duduk di atas dulang yang dibawa pihak lelaki… tanpa sebarang hantaran.

Mas kahwin pula hanya RM100 disediakan pihak lelaki, lebih RM20 dari ketetapan mas kahwin untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengantin perempuan manis berbaju kurung putih, manakala pengantin lelaki hanya mengenakan kurta putih, seluar hitam dan songkok.

Ahli keluarga pengantin perempuan juga berpakaian ala kadar.

Pernikahan ‘sempoi’ itu diilhamkan sendiri oleh bapa kepada pengantin perempuan, seorang pengurus besar stesen televisyen tersohor Malaysia.

Kewangan bukan masalah bagi meraikan perkahwinan anak sulungnya dengan gilang-gemilang, tetapi mengakui keputusan itu diambil bersandarkan pengalaman sendiri suatu ketika dahulu.

“Saya ni orang susah dahulu. Waktu saya nak kahwin, saya terpaksa buat pinjaman peribadi. Saya turut menjual share saya di akhbar Utusan ketika bertugas di sana waktu itu,” jelas bapa kepada empat orang anak itu.

Baginya, tindakan tidak membazir ini bakal memudahkan perjalanan hidup anak sulungnya kelak.

“Saya tak mahu anak saya melalui liku hidup sama seperti yang saya lalui. 16 tahun kerja, barulah mampu nak beli rumah sendiri. Betapa sukarnya nak menyara keluarga, dalam masa sama membayar semula pinjaman peribadi dan hutang rumah dan kereta. Apatah lagi dengan gaji sederhana hidup di tengah bandar,” jelasnya.

Peribahasa “biar mati anak, jangan mati adat” tidak terpakai dalam keputusan mengahwinkan anaknya itu.

Dia juga tidak ambil pusing pandangan masyarakat terhadap keputusan yang diambil.

“Biarlah apa orang nak kata, bagi anak perempuan free-lah, ada yang pandang seronglah, saya tak kisah. Saya tahu apa yang saya lakukan demi kebaikan anak saya sendiri.”

Jelasnya, “Bukan saya menentang adat, tetapi saya lebih sayang anak saya. Duit yang ada, lebih baik guna untuk kegunaan anak saya selepas perkahwinan.”

Pasangan itu cukup beruntung apabila bapa pengantin perempuan menyediakan wang pendahuluan untuk membeli rumah kelak dan juga sebuah kereta sebagai hadiah perkahwinan mereka.

Dia mengharapkan hadiah berkenaan dapat memudahkan urusan rumah tangga anaknya yang baru dibina.

Kebanyakan pasangan muda yang tidak mampu bertahan dalam mengharungi badai perkahwinan, rata-rata disebabkan masalah kewangan.

Menurut statistik sebanyak 92,678 pasangan di seluruh negara mendaftarkan penceraian masing-masing dalam tempoh 2012 hingga 2014 dengan ada antara mereka hanya berkahwin kurang daripada lima tahun.

Manakala data terbaharu, sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan sejak Januari hingga 10 Julai tahun 2016.

Peningkatan dari tahun ke tahun ini cukup membimbangkan.

Jangan sampai anak muda Melayu takut berkahwin. Alasannya bukan disebabkan komitmen keluarga, tetapi komitmen perbelanjaan.

Oleh itu, pernikahan seumpama ini praktikal untuk pasangan Melayu bagi memastikan kelangsungan dan survival rumah tangga yang bakal dibina.

Kisah ini menjadi inspirasi kepada masyarakat Melayu untuk berani berubah dari meneruskan adat perkahwinan yang mungkin membebankan.

Selepas ini, pasangan muda yang mahu berkahwin perlu mengambil pendekatan bijak berbincang dengan keluarga terutamanya wali.

Pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga juga perlu pandai menjawab pertanyaan mak long, mak ngah dan mak lang yang mahu campur tangan dalam majlis perkahwinan anda.

Apa yang penting kehidupan selepas perkahwinan, bukanlah majlisnya.

Ayuh anak muda, sambut perubahan ini… lebih-lebih lagi dalam suhu ekonomi yang tidak menentu ini! 

Sumber: MYNEWSHUB.CC


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2si1Cs3
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2sxCMbH
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment