KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zulkifli Noordin ada pandangan berbeza dengan kebanyakan pihak berhubung insiden kemalangan maut membabitkan lapan remaja berbasikal di Johor Bahru, Johor pada 18 Februari lalu.
Katanya, isu remaja keluar rumah pada pukul 3 pagi merupakan perihal sosial, sedangkan perkara utama yang perlu dilihat dalam kes berkenaan adalah tentang kemalangan membabitkan sebuah kenderaan melanggar lapan remaja berbasikal dari arah belakang hingga mati.
“Ini isu tragedi kemalangan jalan raya! Sebuah kenderaan merempuh sekumpulan pengayuh basikal daripada belakang di sisi sebelah kiri sebatang jalan menyebabkan lapan kematian!
“Prima facie ada sesuatu yang tak kena dengan cara pemanduan atau pengendalian kereta tersebut oleh pemandu berkenaan,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Zulkifli mempersoalkan mengapa kanak-kanak itu yang dipersalahkan orang ramai kerana keluar rumah pada pukul 3 pagi, tetapi tiada siapa bertanya mengapa seorang gadis baru berusia 22 tahun keluar rumah dengan memandu kereta pada pukul 3 pagi.
Selain itu, beliau mempersoalkan mengapa identiti gadis tersebut dirahsiakan oleh pihak berkuasa sedangkan sebelum ini tragedi kemalangan saperti itu dengan cepat identiti pemandu terlibat akan didedahkan untuk pengetahuan umum.
“Adakah pemandu itu diberi perlindungan istimewa. Adakah dia daripada keluarga tertentu yang mesti dilindungi? Setakat hari ini `teman’ tidak mendengar sebarang ancaman terhadap gadis tersebut untuk membolehkan identitinya tidak didedahkan,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa dengan pantas menafikan dakwaan mangsa yang terselamat yang merupakan saksi kemalangan itu bahawa gadis berkenaan menggunakan telefon bimbit sewaktu kemalangan itu berlaku.
“Adakah hanya kerana anak-anak itu berkayuh basikal pukul 3 pagi secara beramai-ramai maka mereka boleh dirempuh daripada belakang begitu sahaja dan mereka yang dipersalahkan?” soalnya lagi.
Berikut kenyataan penuh beliau berhubung insiden itu:
DARI KACA MINDA SEORANG PEGUAM
Salam2all.
Teman berasa terpanggil untuk memberi komen berkenaan kes tragedi kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bharu pada 18 Februari 2017 lepas yang mengorbankan 8 nyawa anak muda.
Kemalangan dikatakan berlaku sekitar jam 3 pagi sewaktu anak2 tersebut sedang berkayuh di lokasi bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah. Dikatakan lebih 30 anak tersebut berada di kawasan itu bersama basikal masing2.
Pemandu seorang gadis berumur 22 tahun memandu kereta jenis Almera dikatakan merempuh anak2 tersebut yang berkayuh menuju haluan yang sama, bermakna ianya rempuhan daripada belakang.
Melihat daripada gambar kawasan tragedi, kelihatan rempuhan itu berlaku di tepi jalan sebelah kiri. Teman melihat kenyataan2 yang dikeluarkan termasuk oleh pihak polis dan juga Timbalan Menteri Dalam Negeri memberi gambaran seolah2 anak2 tersebut yang bersalah; dengan satu alasan dangkal yang utama: apa anak2 itu buat berkayuh basikal beramai2 jam 3 pagi!
Tidak ada pulak yang bertanya apa seorang gadis berusia 22 tahun buat memandu kereta berseorangan jam 3 pagi? Dan kenapa sehingga hari ini identiti pemandu itu tidak didedahkan, sebaliknya identiti mangsa dengan mak bapak mereka pulak yang didedahkan.
Kebiasaanya kalau berlaku tragedi kemalangan saperti ini dengan cepat identiti pemandu yang melanggar akan didedahkan; tetapi dalam kes ini teman agak pelik!
Adakah pemandu itu diberi perlindungan istimewa; adakah dia daripada keluarga tertentu yang mesti dilindungi? Setakat hari ini teman tidak mendengar sebarang ancaman terhadap gadis tersebut untuk membolehkan identitinya tidak didedahkan!
Berbalik kepada isu tragedi kemalangan itu, teman merasakan pihak2 berkaitan terlalu menumpu kepada anak2 tersebut berkayuh basikal jam 3 pagi; seolah2 satu dosa besar bagi anak2 itu berkayuh basikal jam 3 pagi!
Teman bukan bermaksud nak membela anak2 itu, tetapi isunya ialah siapa yang bersalah dalam tragedi itu? Kenapa begitu cepat pihak berkuasa membuat keputusan dan membebaskan pemandu tersebut; dan paling malang ada pulak pihak yang mengugut akan mengambil tindakan terhadap ibubapa anak2 itu kerana membenarkan atau membiarkan anak2 itu berbasikal jam 3 pagi!
Halo yop, sejak bila naik basikal jam 3 pagi itu satu dosa; satu kesalahan? Di bawah Akta Pengangkutan dan Peraturan Lalulintas:
1. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal jam 3 pagi!
2. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal ramai2;
3. Bukan satu kesalahan berkayuh basikal atas jalan raya;
Apa yang jelas melanggar seseorang atau sesuatu kenderaan daripada belakang di atas jalan raya adalah prima facie satu kesalahan!
Pihak polis wajar memperhalusi siasatan mereka dengan mengkaji persoalan berikut:
1. Bagaimana pemandu tersebut boleh merempuh sekumpulan pengayuh basikal daripada belakang?
2. Agak mustahil untuk mana2 pemandu tidak nampak sekumpulan pengayuh basikal diatas jalan raya apatah lagi kalau jumlahnya sampai 30 orang;
3. Alasan konon jalan itu menurun bukit adalah terlalu dangkal; sebab semua pemandu telah pun melalui latihan pemanduan untuk memperlahankan kenderaan bila melalui selekoh atau mendaki atau menuruni bukit.
4. Apa yang menyebabkan pemandu itu tidak dan/atau gagal melihat atau menyedari ada sekumpulan ramai pengayuh basikal di kawasan tersebut;
5. Ada kenyataan dibuat oleh mangsa dan saksi menyatakan melihat pemandu itu menggunakan telefon bimbit dan memandu laju; oleh itu pihak polis wajib menyiasat maklumat ini. Teman agak hairan dalam tempoh yang begitu singkat kenyataan dikeluarkan konon pemandu tersebut tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak membawa laju! Bila siasatan terperinci dibuat?
6. Melihat kepada gambar2 sekitar selepas kejadian, kelihatan rempuhan tersebut sangat kuat sehingga melanggar begitu ramai pengayuh basikal dan menyebabkan 8 kematian! Ini sahaja sudah cukup untuk pihak berkuasa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan cara pemanduan tersebut!
Dalam bahasa undang2 ada prinsip dipanggil res ipsa loquitur – sesuatu perkara itu terjelas dengan sendirinya! Rempuhan kuat daripada belakang oleh sebuah kereta terhadap sekumpulan ramai pengayuh basikal di sisi kiri sebatang jalan raya dua lorong memberi gambaran sama ada pemandu itu lalai, alpa, atau dalam keadaan gagal mengawal kenderaannya! Maknanya ada kes prima facie untuk disiasat dengan lebih terperinci!
Teman harap kita bertindak waras dan rasional dalam tragedi ini, dan tidak terbawa2 dengan sikap emosional, prejudis atau bias!
Adakah hanya kerana anak2 itu berkayuh basikal jam 3 pagi secara beramai2 maka mereka boleh dirempuh daripada belakang begitu sahaja; dan mereka yang dipersalahkan?
Apa beza anak2 yang berkayuh basikal itu dengan keadaan sebaliknya; apa kata jika pemandu tersebut merempuh beberapa kenderaan lain saperti kereta atau motorsikal daripada belakang? Tidak ada beza bukan?
Soal mereka berkayuh basikal jam 3 pagi beramai2 bukan isunya! Itu mungkin isu sosial yang perlu ditangani secara berasingan melalui kaedah yang diperlukan.
Tetapi ini isu tragedi kemalangan jalan raya! Sebuah kenderaan merempuh sekumpulan pengayuh basikal daripada belakang di sisi sebelah kiri sebatang jalan menyebabkan 8 kematian!
Prima facie ada sesuatu yang tak kena dengan cara pemanduan atau pengendalian kereta tersebut oleh pemandu cina berkenaan!
Teman mendesak pihak polis dan pihak berkuasa supaya memperhalusi siasatan mereka! Dan teman cadangkan supaya siasatan dibuat di bawah Seksyen 302A Kanun Keseksaan dan sebagai alternatif Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.
Teman nasihatkan kepada keluarga mangsa supaya merujuk kepada peguam untuk menimbang membawa kes ini ke Mahkamah untuk tindakan sivil yang bersesuaian.
Dan jika tidak berpuas hati dengan siasatan pihak berkuasa, failkan writ prerogatif di Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah yang bersesuaian. Peguam yang mahir akan boleh memberikan nasihat dan panduan yang bersesuaian insya-Allah.
Dan akhirul kalam, nasihat teman kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri dan KPD (dan yang sewaktu dengannya), lain kali kalau ditanya soalan berkaitan sesuatu insiden atau kejadian jenayah seperti ini, suka teman mengulang nasihat seorang sahabat bekas pegawai tinggi pasukan polis, jawab aja “kes masih dalam siasatan dan kita akan siasat sewajarnya mengikut undang2 dan prosedur sedia ada.” Selesai masalah!
Wallahua’lam dan wassalam
– Tuan Hj Zulkifli Noordin –
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2kZnHHb
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2lLgfno
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment