KIRA-KIRA 22 tahun dahulu ketika zaman tidak wujud lagi media sosial seperti Facebook, negara pernah digemparkan dengan tragedi seorang lelaki ditelan seekor ular sawa di pekan Tenang Stesen, Segamat, Johor.
Kejadian hitam pada 4 September itu bukan sahaja telah menggemparkan seluruh negara, bahkan dianggap peritiwa hitam paling tragis dan mencemaskan sepanjang 1995.
Mangsa, E Heng Chuan, 29, ditemui kira-kira pukul 10.30 malam di bangsal berhampiran rumahnya, di mana sebahagian badannya telah ditelan oleh ular sawa yang difahamkan seberat 140 kilogram.
Ular sawa itu hanya berjaya menelan kepala dan sebahagian badan Heng Chuan kerana tersangkut pada bahu mangsa.
Dilaporkan sebelum kejadian, mangsa dikatakan berjalan menuju ke bangsal berhampiran rumahnya kira-kira jam 8 malam untuk menutup suis generator air kolam.
Bagaimanapun setibanya di sana, reptilia itu menyerang Heng Chuan dengan mengigit dan membelit lelaki itu sebelum bertindak menelannya.
Kemungkinan berlaku pergelutan agak lama sebelum mangsa mati, berdasarkan keadaan bangsal yang semak bertukar menjadi lapang.
Hakikat itu memang logik kerana kejadian hanya disedari abang mangsa, E Seng Guan, 32, yang keluar mencarinya adiknya apabila tidak pulang ke rumah, kira-kira 30 minit selepas keluar untuk menutup suis generator terbabit.
Seng Guan mencari adiknya di kawasan itu pada pukul 8.30 malam tetapi gagal menemuinya.
Ketika sampai ke situ pada kali kedua, Seng Guan menemui seekor ular sawa sedang membelit dan cuba menelan adiknya dari bahagian kepala tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut.
Dia kemudian bergegas pulang ke rumah untuk memberitahu ibunya, Lim See Mek, 51. Mereka kemudian melaporkan kejadian itu ke pondok polis pekan Tenang Stesen untuk meminta bantuan.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11 malam, tetapi pada masa itu tidak mempunyai sebarang gambaran mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi.
Polis pada mulanya beranggapan ia hanya kejadian ular sawa membelit mangsa dan tidak begitu yakin sebahagian badannya ditelan walaupun sudah dimaklumkan abang mangsa.
Dalam kegelapan malam itu, sepasukan lima anggota polis bersama Seng Guan dan seorang penduduk kampung pergi ke tempat kejadian. Mereka menggunakan lampu picit dan bersenjatakan M16.
Seorang anggota polis melepaskan empat das tembakan untuk membunuh ular itu bagi menyelamatkan mangsa, bagaimanapun Heng Chuan didapati meninggal dunia di tempat kejadian akibat terlalu lama dijerut dengan kuat.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat manakala bangkai ular sawa besar itu dibawa ke pondok polis Tenang Stesen.
Seorang anggota polis yang menyertai operasi ketika itu, Lans Koperal Razib Ujang, 30, menggambarkan bunyi ular sawa itu ketika hendak menelan mangsa amat menggerunkan.
Ular itu berbunyi seperti menyedut, kemudian kedengaran bunyi seolah-olah ia menghembuskan nafasnya. Pada masa sama, ular itu menggeleng seperti mahu memastikan kepala dan badan mangsa masuk ke dalam mulutnya.
Kejadian itu turut menakutkan penduduk di sekitar Tenang Stesen dan Redong terutama penoreh getah, yang risaukan keselamatan mereka kerana beranggapan pasangan ular yang mati dibunuh itu akan keluar mencari temannya, terutama di dalam paya dan semak berhampiran kebun getah tempat mereka menoreh.
Timbalan Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Perhilitan dan Taman Negara (Perhilitan) Ibu Pejabat, Celescoriano Razond ketika mengulas tindakan agresif ular sawa menyerang manusia menegaskan, ada beberapa faktor ular sawa akan bertindak terhadap manusia, terutama kerana lapar atau diganggu.
“Mangsa yang ternampak ular yang terlalu besar akan terkejut dan mungkin boleh pengsan. Jika pengsan atau terjatuh, ia akan memudahkan ular menyerang.
“Ular sawa biasanya ambil masa untuk belit mangsanya, ini bermakna seseorang itu masih ada masa untuk melepaskan diri tetapi bergantung kepada kekuatan dan semangatnya,” katanya.
Beliau berkata, kejadian ular sawa membelit manusia amat jarang dilaporkan tetapi pernah berlaku di Kuala Krai, Kelantan pada 1985 apabila mangsa ditemui mati dengan keadaan tulangnya patah dicerut reptilia itu.
Bagaimanapun ular berkenaan melarikan diri. Pada 17 Februari lalu, seorang buruh warga Indonesia, Sapar, 55, turut maut dibelit ular sawa dan nyaris ditelan di Jabor, Terengganu
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2mBpJyD
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2musZwx
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment