Saturday 25 February 2017

7 remaja berbasikal ditahan


JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh remaja berbasikal ketika melakukan rondaan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Kolam Ayer di sini, pagi tadi.

Penahanan itu susulan rondaan pihak polis berikutan kenyataan yang viral di laman sosial berhubung penganjuran dan mengajak orang ramai menyertai perhimpunan haram di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru sebagai menyokong agenda kumpulan berbasikal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata semua remaja berusia 16 hingga 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.10 pagi tadi.

Katanya, semua remaja berkenaan dibawa ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak enam saman dikeluarkan mengikut Peraturan 42(1) LN 166/59 kerana mengubah suai basikal dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

"Penahanan dan sitaan basikal pula dibuat mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan dijalankan mengikut Kanun Lebuhraya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, semua remaja terbabit dibebaskan pada jam 4.20 petang tadi selepas pihak polis memberi nasihat berkenaan risiko perbuatan mereka yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Saya juga ingin menafikan dakwaan pemandu wanita yang terbabit dengan kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam pada 18 Februari lalu itu adalah anak kenamaan.

"Sehubungan itu, orang ramai diminta menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat di laman sosial, media cetak dan media elektronik yang bukan sahaja menggugat ketenteraman awam, malah mengganggu siasatan polis atau berdepan tindakan tegas," katanya.

Sumber: Berita Harian Online


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2mw0Rs7
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2lUXvC1
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment