Wednesday, 21 December 2016

Manusia Paling Lawak Di Dunia vs Manusia Paling Busuk Hati Di Dunia


Harith Iskander telah memenangi The Funniest Person On The Earth di Finland. Dia telah berlawan dengan 90 orang pelawak dari seluruh dunia. Apabila kemenangannya diumumkan di media sosial, antara kritikan yang berbahasa Melayu adalah:
  1. PM dan Ahmad Maslan lagi lawaklah. Setakat Harith ni anak buah mereka aja.
  2. Lawak sangatkah dia ni? Hek eleh. Pak menteri dan Jamal Tongkol lagi lawaklah weh!
  3. Dia ni buat lawak syok sendiri. Tak layaklah menang, ekonomi negara kukuh balik ke?
  4. Ramai orang yang lagi lawak daripada dia. Kita aja yang tak tahu. Dia menang pun sebab nasib. Kalau orang lain masuk, habislah dia, mesti kalah.
Ada lagi yang power:

Untunglah dapat hadiah duit banyak. Jadi jutawan sekelip mata dengan berlawak sahaja. Aku berlawak setiap hari, tak ada siapa pun nak bagi duit.

Menang tu tak penting sangat. Yang penting dapat 100,000 USD.

Eloklah duit itu bawa pergi bersedekah. Duit itu tak boleh bawa ke mati. #donedakwah

Penat aku baca setiap page yang memaparkan berita tentang kemenangan Harith ini. Dari tadi aku perhatikan satu persatu komen-komen di Facebook. Selepas baca, aku tergerak hati untuk mengulas panjang tentang isu ini.

1. Sebagai rakyat Malaysia, aku cukup bangga dengan Harith Iskander. Bangga yang betul-betul bangga. Teruk mana pun kerajaan kita, tetapi apa saja yang membanggakan Malaysia, aku cukup bangga. Rumah kita dijaga oleh orang yang teruk, tetapi tidak bermakna kita perlu benci rumah kita.

Harith bukan pergi ke Finland atas nama dia seorang sahaja. Tetapi dia mewakili Malaysia. Jadi, ketika pertandingan ini berlaku, orang akan pandang Harith sebagai Malaysia. Bukan Harith.

2. Harith bertanding dengan 89 orang pelawak lain dari seluruh dunia. Ada 56 negara yang memasuki pertandingan ini. Antara 56 orang, Harith Iskander tersenarai sebagai 5 calon terbaik. Akhirnya, petang itu menyaksikan Harith adalah pelawak yang paling lucu antara semua pelawak yang mengambil bahagian di dalam pertandingan ini.

3. Apabila membaca komen-komen di Facebook tentang kemenangan dia, hati aku jadi amat kecewa melihat sikap pengguna Facebook yang memberi kritikan di dalam bahasa Melayu.

Sangat sedikit komen yang mengucapkan tahniah. Selebihnya, mereka meletakkan komen-komen lawak bodoh, campurkan lawak politik yang bangang serta bertukar-tukar cerita lain yang tidak berkaitan langsung.

4. Takkan kau tak ada sekelumit rasa bangga nama Malaysia menjadi sebutan dunia? Takkan kau tak ada rasa bangga, anak Malaysia dapat menumpaskan puluhan mat salleh yang orang Melayu agungkan sangat itu?

Kau ingat senang nak melibatkan diri dalam penyertaan antarabangsa macam itu? Kau dulu masa sekolah, dapat wakil daerah main bola tampar pun kau dah kecoh satu kampung. Kemudian bila dah besar, orang lain berjaya mewakili Malaysia dan menang, kau sedikit pun tak peduli.

Kurangnya sokongan dan penghargaan daripada rakyat Malaysia yang macam kau inilah yang menyebabkan ramai orang malas untuk berbakti kepada negara. Menang anugerah bola kena kutuk, menang anugerah filem kena kutuk dan menjadi penyanyi bertaraf antarabangsa pun masih kena kutuk.

Semua serba tak kena. Kebanyakan negara yang mempunyai rakyatnya yang berbakat dan mendapat anugerah, rakyat yang lain akan memberi sokongan padu serta limpahan doa supaya mereka ini berjaya.

Sifat dengki, sifat suka merendah-rendahkan orang lain dan sifat tidak menghargai merupakan sifat-sifat yang membuatkan generasi kita ke belakang, bukan ke hadapan. Orang lain dah 50 tapak dihadapan, kita dua tiga tapak nak ke depan pun dah kena kutuk.

Reaksi-reaksi netizen terhadap kemenangan Harith perlu kita sama-sama risaukan. Jika anugerah dunia pun kita dah tak mahu raikan, maknanya yang sakitnya bukan pemimpin negara sahaja, tetapi rakyat negara tersebut pun sakit juga.

5. Tolonglah bersikap matang dalam menerima isu dan berita. Macam budak terencat akal. Sikit-sikit nak kaitkan dengan politik. Sikit-sikit nak buat lawak PM. Sikit-sikit nak kaitkan dengan menteri.

Kemenangan Harith Iskander bukan sesuatu yang perlu untuk dibuat lawak, lebih-lebih lagi lawak bodoh tentang politik. Kemenangannya perlu diraikan dengan hujanan ucapan tahniah dan kebanggaan yang tinggi terhadap pencapaiannya.

Kau buat lawak bodoh macam itu, menunjukkan IQ kau tahap itu ajalah. Orang lain dapat pencapaian tinggi, kau tetap dengan pemikiran aras rendah kau itu. Tak kesiankah dengan diri sendiri?

6. Ada juga yang berkata Harith Iskander tak lawak dan mempersoalkan bagaimana dia boleh menang.

Ini pertandingan melalui undian. Bukan orang Malaysia sahaja yang boleh mengundi. Satu dunia boleh mengundi. Populasi di negara kita tidak mencecah 30 juta orang. Rakyat Malaysia yang tahu pasal pertandingan ini mungkin hanya 3 juta orang sahaja. Tapi yang mengundi, aku rasa sejuta pun belum tentu lagi.

Peserta-peserta lain pun diundi oleh rakyatnya yang berkali ganda lebih ramai daripada rakyat kita. Kalau fikir logik, tidak mungkin Filipina yang bilangan penduduknya hampir 98 juta, tak undi peserta yang mewakili negara mereka?

Maknanya, Harith bukan mendapat undian daripada rakyat Malaysia sahaja, malah negara lain pun turut mengundinya. Orang memilih dia disebabkan dia kelakar dan orang suka lawaknya. Kau yang tak suka diam-diam sudahlah. Ataupun, patutnya kau undilah calon dari negara Israel untuk kalahkan Harith.

Kau kata ramai lagi orang yang lebih lawak daripada dia. Memanglah, bodoh. Dalam dunia ini, tak ada sesiapa yang boleh menang kalau ada perkataan ‘paling’. Harith lawaknya pada orang lain, tetapi dia tak lawak bagi kau. Kalau ikutkan logik, ramai orang lebih lawak daripada dia. Usain Bolt itu pun, bukan orang paling pantas di dunia kerana ada orang yang tak masuk sukan itu lebih pantas berbanding dia.

Beza Harith Iskander dengan pakcik jiran sebelah rumah kau yang kau rasa lebih kelakar tu adalah, Harith pergi masuk pertandingan tetapi jiran kau itu tidak. Harith korbankan banyak benda untuk diiktiraf secara rasmi tetapi jiran kau buat lawak hanya di kedai kopi.

7. Berbicara tentang korban, aku perasan yang ada orang kata Harith ni menang disebabkan nasib dan dengan hanya berlawak, dia senang-senang boleh memenangi pertandingan tersebut.

Aku ikut perkembangan Harith sejak dia mula mengumumkan yang dia menyertai pertandingan ini. Dia membuat promosi besar-besaran, guna iklan sponsor yang memakan ratusan ringgit, dia pergi ke Finland menggunakan duitnya sendiri dan menginap di sana juga menggunakan duitnya sendiri (jika ditaja oleh kementerian atau badan-badan lain sekalipun, yang penting dia ada kesungguhan untuk mencari sponsor untuk pertandingan tersebut.)

Itu belum lagi bercerita tentang kesungguhannya ketika latihan, korbankan masa dan menolak tawaran kerja lain. Semuanya hanya untuk memberi fokus sepenuhnya dalam memenangi pertandingan itu.

Apabila kita tahu dia memasuki pertandingan itu, kita rasa macam mudah saja dia boleh menyertai pertandingan tersebut. Ini kerana dia memenangi pertandingan tersebut yang membuatkan kita nampak mudah. Kalau dia kalah? Tak terkorban begitu sahaja segala pengorbanan yang dia curahkan untuk pertandingan itu?

8. Bila wang ringgit menjadi nilai ukuran hidup, kiblat kehidupan kita juga hanya berpandukan wang. Disebabkan itulah apabila dia memenangi pertandingan tersebut, ada sesetengah netizen hanya fokus terhadap wang ringgit. Mereka ini lebih teruja jika Harith hanya memenangi RM500,000 berbanding kejayaan yang dia menangi di dalam pertandingan itu.

Sepatutnya kita lebih mengutamakan berita kejayaan dia yang mengharumkan nama negara. Ini sikit-sikit duit. Sikit-sikit duit. Sampai mampus pun tak berjayalah kalau kau fikir tentang duit sahaja.

9. Penat aku tulis panjang-panjang ini. Punyalah runtun hati aku apabila melihat reaksi netizen tentang kemenangan Harith ini. Tak dihargai langsung. Malah dipersoalkan pula kemenangannya.

Patutnya kitalah orang yang memberi sokongan kepada dia, bagi ucapan tahniah, bagi kata-kata penghargaan dan juga kuntuman doa.

Tiga minggu lagi pemenang Anugerah Puskas akan diumumkan pula. Faiz Subri iaitu anak Malaysia kita telah dicalonkan sebagai salah seorang manusia paling cantik golnya sepanjang tahun 2016.

Kita nantikan apa pula reaksi netizen jika Faiz menang. Adakah reaksi mereka sama dengan reaksi hari ini terhadap Harith, kau fikirlah sendiri.

10. Kepada Harith Iskander, Kalau kau baca status aku ini, ketahuilah aku antara ribuan insan yang berbangga dengan kemenangan kau pada hari tersebut. Persetankan mulut dan jari orang yang memperlekehkan kemenangan kau.

Semoga kau terus mengharumkan nama negara dimasa akan datang!

Tahniah Harith!



from Sehinggit Media News http://ift.tt/2i3jfa4
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2ihVN8h
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment