Sunday, 25 December 2016

Polis Cari Pemandu Langgar Pasangan Suami Isteri


KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang terbabit dalam satu kes langgar lari di Jalan Pudu berhampiran Bulatan Jalan Pudu di sini, yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10 pagi, mangsa Meor Ridzuan M Amin, 25, dari Pandan Mewah, Ampang, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) akibat cedera parah pada kepala dan badan.

Bagaimanapun, isteri mangsa, seorang warga Indonesia dikenali sebagai Sri Winda Astuti, 23, yang sedang hamil enam bulan, selamat dengan hanya cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain memberitahu, siasatan mendapati motosikal ditunggang pasangan suami isteri itu bergerak dari arah Cheras menghala ke arah Jalan Pudu.

"Saksi mendakwa sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih tiba-tiba mahu membuat pusingan U di laluan tidak dibenarkan menyebabkan motosikal terbabit tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak dan mengalami pendarahan yang banyak, manakala kereta terbabit dikatakan berhenti seketika sebelum melarikan diri ke arah Cheras," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Katanya, hingga kini pemandu kereta terbabit belum tampil membuat laporan polis.

"Nombor pendaftaran kereta terbabit sudah dikenal pasti dan usaha mengesan pemandu terbabit sedang dijalankan.

"Polis sudah merakam percakapan saksi kemalangan serta menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2i6ipd3
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2hFIO0q
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment