Thursday 3 December 2020

Sembilan Anggota Polis Ditahan, Edar Dadah Dalam Lokap

JOHOR BAHRU: Sembilan anggota polis dan seorang awam ditangkap terbabit dalam pengedaran dadah di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 29 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sembilan anggota polis yang ditahan berusia antara 20 hingga 36 tahun termasuk seorang anggota wanita.

Mereka yang berpangkat Koperal hingga Konstabel adalah penjaga lokap di IPD berkenaan manakala, orang awam yang ditahan wanita berusia 23 tahun, anak kepada salah seorang tahanan di lokap itu yang dikenali sebagai 'Datuk Ajim'.

"Penangkapan ini adalah susulan tindakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Tinggi membuat ujian saringan air kencing ke atas 16 banduan daripada Penjara Ulu Choh yang ditahan di lokap itu, pada 22 November lalu.

"Dalam ujian itu lima tahanan positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, susulan itu pada 29 November JSJN IPK Johor dibantu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK membuat pemeriksaan di lokap berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan polis berjaya merampas sejumlah dadah jenis syabu seberat 38.65 gram bernilai RM3,865; 42.25 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,112.50 dan sejumlah tembakau.

"Susulan itu, polis menjalankan ujian saringan terhadap 129 banduan di lokap IPD berkenaan dan 22 daripada banduan terbabit didapati positif dadah.

" Seramai 10 banduan positif dadah jenis methamphetamine, 11 positif jenis dadah Morfin dan satu jenis THC.

"Seramai 21 banduan yang positif dadah adalah warga tempatan dan seorang warganegara asing berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun. Mereka disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya

Ayob Khan berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 6 ADB 1952 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Selepas itu, tangkapan dibuat terhadap sembilan anggota polis dan seorang awam ini. Hasil ujian saringan mendapati dua anggota polis lelaki dan wanita awam itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Seorang daripada anggota yang positif itu juga dikesan mempunyai satu rekod kesalahan lampau pada tahun 2017 di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan).

"Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan di bawah di bawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952," katanya.

Sumber: BH Online



from Sehinggit Media News https://ift.tt/39CHZDf
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3lye5m1
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment