Sunday, 9 August 2020

"Hak Polis Untuk Nafi Tapi Saya Penduduk Asal Di Situ" - Peniaga Burger


"SAYA adalah penduduk asal di kawasan ini dan masyarakat sekitar juga tahu mengenai kewujudan premis judi itu. Namun, itu adalah hak polis untuk menafikannya," kata pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42.

Dia berkata demikian selepas pihak polis membuat laporan polis menafikan kewujudan beberapa premis judi di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh yang didedahkannya menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia sehingga tular sejak semalam.

Dia turut mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

"Saya akan memberikan kerjasama kepada polis dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menyediakan khidmat guaman kepada saya untuk kes ini.

"Malah, saya juga sudah berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menghubungi saya semalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa mendedahkan kegiatan yang berlaku di kawasan itu kerana tiada pilihan lain dan sudah kehabisan cara untuk memperjuangkan perkara berkenaan.

Mohd Asri berkata, tindakannya membuat siaran langsung itu kerana kecewa dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dilihat 'pilih bulu' dengan peniaga di kawasan terbabit.


"Sudah lebih 20 tahun saya berniaga burger di tepi jalan dan banyak kali tindakan saman dan sita dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap gerai kami, namun saya tidak pernah marah atau menyimpan dendam kerana perkara itu.

"Tetapi apa yang mengecewakan saya adalah tindakan MBSA yang hanya menyita dua gerai burger termasuk milik saya di lokasi itu semalam, walaupun kami tidak berniaga sedangkan ada ramai lagi peniaga di kawasan berkenaan tidak dikenakan tindakan sama.

"Peniaga Aceh yang membuka khemah di tepi jalan dan menjual rokok seludup serta beberapa premis judi pula masih boleh berniaga seperti biasa tetapi hanya gerai burger kami yang diambil tindakan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas mengenai maklum balas MBSA berhubung pendedahan itu, Mohd Asri berkata, dia tidak pernah ada sebarang konflik dengan PBT terbabit berkaitan gerainya.

"Saya sering terima saman mahupun berdepan tindakan sita dan terus membayar saman dikenakan tetapi terlalu jelas kami 'dianaktirikan' oleh MBSA apabila tindakan berkenaan hanya diambil terhadap dua gerai burger.

"Jika benar mereka (PBT) mahu membantu kami, permudahkan urusan peniaga kecil-kecilan ini untuk mendapatkan lesen perniagaan secara sah. Kami tidak berbuat jenayah tetapi hanya sekadar mahu mencari makan bagi menampung keluarga," katanya.

Dia berkata, sebelum ini, dia ada memohon dengan PBT untuk mendapatkan lesen berniaga di kawasan itu, namun ditolak atas pelbagai alasan menyebabkan gerai miliknya di lokasi berkenaan sudah disita dua kali.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan memberikan bantuan dari segi kaunseling serta perlindungan kepada Mohd Asri yang terdedah dengan ancaman daripada pihak tertentu.

"Apabila perkara sebegini didedahkan, pastinya ada ancaman kepada individu yang mendedahkan terutamanya membabitkan kegiatan jenayah seperti pusat judi.

"Ini bukannya masa untuk kita menuding jari kepada mana-mana pihak, namun kami berharap pihak berkuasa akan bertindak segera membuat siasatan supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan," katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/31ztquz
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2PzWtJ5
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment