Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan untuk memperkasakan akta sedia ada bagi memberi hukuman lebih setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya akan berbincang secara lebih lanjut dari segi perundangan dan sebagainya sebelum perkara itu dibawa ke Kementerian Pengangkutan.
Menurutnya, tanggungjawab JSPT adalah dari segi penguatkuasaan dan siasatan.
"Kita masih menggunakan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dalam masa sama kita juga ada undang-undang lain yang boleh digunakan.
"Kita akan mencadangkan kepada kementerian (Kementerian Pengangkutan) untuk meminda APJ bagi memberi hukuman berat dan setimpal terutama kepada pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Denda yang ada sekarang terlalu rendah iaitu maksimum RM300 dan kita cadangkan mungkin jumlah itu ditingkatkan dari RM1,000 hingga RM5,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Azisman berkata, pihaknya percaya masyarakat juga mengalu-alukan cadangan ini.
Katanya, pihaknya sentiasa bersedia sekiranya dipanggil oleh pihak kementerian untuk membincangkan dengan lebih lanjut berhubung perkara ini.
Dalam pada itu, pihaknya tetap memberi pemantauan khusus bagi mengesan pemandu mabuk dengan rondaan terutama di waktu selepas waktu kemuncak di mana pengunjung keluar untuk pulang selepas berhibur.
Sementara itu, polis akan menguatkuasakan Seksyen 42 APJ 1987 bagi menangani isu samseng jalanan yang memperuntukkan hukuman denda yang tinggi dan penjara mandatori.
"Sesiapa yang bawa kenderaan berbahaya dan melulu akan disiasat mengikut seksyen ini yang amat ditakuti golongan mat rempit jika mereka ditahan," katanya. - Sinar Harian
from Sehinggit Media News https://ift.tt/38yXCrI
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2RPq5Tz
via merahhaticintaku.blogspot.my
No comments:
Post a Comment