Thursday 24 November 2016

Kerajaan Sedang Kaji Permintaan Naikkan Harga Gula


JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang mengkaji permintaan pengeluar gula bagi menaikkan harga barang kawalan itu berikutan kos gula mentah yang semakin meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan mengenai perkara itu dilakukan sejak sebulan lalu.

“Kerajaan akan meneliti trend harga pasaran gula dunia terlebih dahulu kerana ia boleh naik dan menurun, malah (kadang-kadang) stabil, (supaya) mudah kita hendak membuat kiraan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan hari ini.

Beliau berkata, perubahan trend itu tidak menentu dan banyak dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk iklim serta bekalan gula tidak mencukupi yang boleh menyebabkan harga gula meningkat dan kadang kala akan kembali normal serta stabil.

“Oleh itu, tidak adil jika kita membenarkan mereka naikkan harga (terutama apabila perubahan mendadak seperti ini berlaku),” katanya.

Hamzah diminta mengulas kenyataan MSM Malaysia Holdings Bhd yang meminta kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20% kerana kos gula mentah dikatakan meningkat 40% sejak awal tahun ini serta memberi kesan terhadap margin syarikat.

Beliau berkata, harga pasaran gula dunia kini mencecah AS$0.26 sen (AS$1=RM4.40) bagi 1 paun (1 paun = 0.5kg) berbanding AS$0.16 sen pada 2013.

“Permintaan pengeluar ada asasnya, tetapi saya hendak pastikan ia memberi keselesaan dari segi kadar harga yang mereka sendiri mampu untuk berusaha mengeluarkan gula supaya bekalan cukup di pasaran,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga tidak mahu pengguna terasa beban dengan harga gula yang mahal.

Bagaimanapun, beliau turut memberi jaminan pengguna tidak perlu bimbang, memandangkan tiada pengumuman mengenai sebarang kenaikan harga gula buat masa ini. - freemalaysiatoday


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2fwQ3sM
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2fdTTZD
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment