Monday, 30 September 2019

Serius Ambil Tanggungjawab, Kes Adib Akan Diteliti Dengan Profesional - Kata Peguam Negara


Peguam Negara, Tommy Thomas berkata pihaknya serius dalam mengambil tanggungjawab dan berjanji meneliti kertas siasatan polis berhubung pihak yang menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Katanya, orang ramai harus diberikan jaminan bahawa pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawab di bawah undang-undang.

Tambah beliau, pihaknya akan berusaha sedaya upaya apabila kertas siasatan oleh pihak polis diserahkan kepada jabatan itu.

“Kertas siasatan akan diteliti dengan berhati-hati dan secara profesional. Ini ialah janji jabatan ini. Ketua Polis Negara tentu sekali akan memaklumkan perkembangan siasatan pihak polis kepada orang ramai yang ingin tahu dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa dua atau tiga individu telah mengakibatkan kematian Muhammad Adib dan Koroner, Rofiah Mohamad mengarahkan pihak polis untuk menyambung siasatan mereka.


Tambah Tommy, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah memberikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menyiasat hal tersebut.

Katanya, pihak polis harus diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka serta berkata pihak polis mempunyai sumber dan kepakaran untuk menjalankan tugas-tugas mereka di bawah undang-undang.

“Selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku suspek dikenal pasti oleh pihak polis, kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

“Pada peringkat itu tugas jabatan ini bermula. Jabatan ini perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis, dan mendakwa individu-individu yang terlibat,” katanya.

Menurut Tommy lagi, dalam hal berkenaan, terdapat banyak spekulasi yang kebanyakkannya memberikan maklumat yang salah, telah berbangkit berhubung langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai agensi kerajaan berikutan keputusan Koroner pada penghujung inkues yang dijalankan.

Muhammad Adib cedera parah disyaki dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini pada 27 November 2018.

Dia yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember tahun lalu itu kemudian dirawat di unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya pada malam kejadian namun dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada keesokan malamnya.

Beliau meninggal dunia di IJN pada pukul 9.41 malam pada 17 Disember 2018. 

Sumber: UTUSAN ONLINE


from Sehinggit Media https://ift.tt/2mxtdYw
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2msX7wU
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment