Thursday, 6 September 2018

Syed Saddiq Berdebat Dengan Dua Pelajar Di Program Mhi. Ini Yang Menyebabkan Beliau Menggelar Dua Pelajar Ini 'Jedi Master'


PERDEBATAN antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pelajar Tingkatan Empat menghangatkan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), hari ini.

Syed Saddiq yang mempertahankan usul had umur mengundi 18 tahun, dilihat teruja dengan kepetahan pelajar Sekolah Seri Puteri, Hasya Atiyah Khairuddin, 16, yang berhujah sebagai pembangkang dalam tempoh tiga minit.

Lebih menarik, Syed Saddiq yang menyampaikan hujahnya dalam Bahasa Melayu, dibalas dengan hujah Hasya Atiyah dalam Bahasa Inggeris dengan fasih.

Dalam hujahnya, Syed Saddiq antara lain mengetengahkan kematangan anak muda untuk mengundi seawal usia 18 tahun, yang diikitiraf sistem sedia ada apabila mereka dibenarkan membuat keputusan besar seperti berkahwin dan menandatangani perjanjian, selain boleh didakwa di mahkamah.

Membalas hujah itu, Hasya Atiyah dengan tenang membangkitkan mengenai anak muda pada usia berkenaan belum jelas dengan impak dasar kerajaan, berkemungkinan menjadi mangsa eksploitasi politik parti yang terdesak mahukan undi, selain mudah untuk percaya pada naratif tidak benar yang digembar-gemburkan di media sosial.

Sebaik selesai sesi perdebatan itu, Syed Saddiq yang juga bekas pendebat terbaik Asia, memuji prestasi Hasya Atiyah yang disifatkannya bertaraf ‘Jedi Master’.

Terdahulu, ketika ditemu bual pengacara MHI, Ally Iskandar Mohd Mardzi, Syed Saddiq berkata, beliau mahu membudayakan debat menerusi penganjurannya di beberapa universiti seluruh negara pada setiap bulan.


Beliau sendiri akan menyertai siri debat pertama yang dijangka diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 18 September depan, disusuli beberapa siri debat di universiti lain.

“Kita akan mulakan dengan sesi debat setiap bulan, kemudian kita cuba setiap minggu dan isu diperdebatkan adalah mengenai isu semasa kerana kita tidak mahu perkara ini hanya boleh dibincang di media sosial atau Parlimen semata-mata,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, kemahiran pengucapan awam perlu dikuasai anak muda, khususnya bagi membantu dalam kerjaya mereka pada masa depan.

“Ini adalah kemahiran yang sangat penting untuk dikuasai, khususnya melihat kepada faktor anak muda menganggur seperti diterbitkan laporan Institut Penyelidikan Khazanah atau JobStreet.com, adalah berkaitan dengan pengucapan awam, iaitu tahap keyakinan dan penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya.

Berkongsi pengalamannya mempelajari kemahiran berdebat, Syed Saddiq mengakui bermula agak lambat iaitu pada hujung Tingkatan Empat, selain lemah dalam menguasai Bahasa Inggeris pada peringkat awal.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila beliau memberi fokus sepenuhnya dengan membudayakan debat dalam kehidupan seharian serta berlatih setiap hari.

Secara keseluruhan pembabitannya dalam pertandingan debat, Syed Saddiq pernah dinobatkan sebagai pendebat terbaik Asia sebanyak tiga kali, pendebat terbaik Oxford and Cambridge Intervasities (tiga kali) dan pendebat terbaik dunia Islam OIC (dua kali).



from Sehinggit Media https://ift.tt/2Q4bBgG
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2wPg525
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment