Monday, 30 November 2020

Tak Patuh SOP, Orang Ramai Serbu Kedai Emas Dikompaun & Premis Mungkin Diarah Tutup

KOTA BHARU: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kedai emas termasuk mengarahkan premis berkenaan ditutup sekiranya dikesan masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata sehingga kini terdapat pemilik premis masih gagal menyediakan alat pemeriksaan suhu dan cecair pembasmi kuman.

Beliau berkata, pemilik kedai emas hanya memikirkan jualan dan keuntungan semata-mata dengan mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan.

"Sehingga semalam, sebanyak 23 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik kedai emas dan pembeli dalam tempoh dua hari.

"Kompaun berkenaan dikeluarkan kerana kebanyakan pemilik dan pembeli gagal mematuhi SOP ditetapkan. Kita akui semalam mulai tular ketidakpatuhan di kedai emas berikutan harga emas yang rendah.

"Hasil pemantauan yang dibuat di seluruh Kelantan, kita mendapati ada pembeli yang sanggup bertolak dan berebut untuk membeli emas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Derma Darah Peringkat Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan di kedai emas bagi memastikan kesemua pemilik dan pembeli mematuhi SOP.

"Saya juga ingin menasihatkan pemilik kedai emas supaya menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bagi memastikan kesemua pembeli mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Dalam perkembangan lain mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, Shafien berkenaan memasuki hari ke 10 PKPB, tahap pematuhan rakyat Kelantan semakin baik iaitu 95 peratus.

"Kita berharap orang ramai terus patuh dan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian COVID-19," katanya.

Media semalam melaporkan, kedai emas di Kota Bharu diserbu orang ramai berikutan harga emas yang rendah sejak minggu lalu, sehingga menyaksikan kebanyakan mereka gagal mematuhi SOP.

Sumber: BH Online



from Sehinggit Media News https://ift.tt/3qgfbX2
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/37dO06w
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment