Monday, 18 May 2020

Kerajaan Kaji Hukuman Kepada Ibu Bapa Degil Bawa Anak Kecil Membeli-belah


PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap ibu bapa yang membawa anak kecil keluar membeli belah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan diadakan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, sekiranya semua pihak mencapai persetujuan, peraturan akan dipinda dan mereka yang melanggarnya boleh dihukum di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kita dengar masih ramai ibu bapa yang bawa anak kecil ke pusat beli belah. Perkara ini melibatkan perundangan. Kalau kita nak ambil tindakan kepada ibu bapa, ia (peruntukan) mestilah ada dalam undang-undang atau peraturan di bawah Akta 342.

“Jadi kita akan bincang dengan pihak Peguam Negara, KKM dan MKN bagi kita mencapai persetujuan. Kalau perkara ini dipersetujui, peraturan boleh dipinda dan jika langgar peraturan, boleh dihukum di bawah Akta 342.


“Perkara ini kita akan lihat dengan lebih teliti kerana mungkin banyak juga implikasi lain. Kita akan bincang dan akan dapatkan nasihat daripada Peguam Negara,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan peka dengan rungutan rakyat yang mendakwa harga bahan mentah terutamanya ayam meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan ini.

“Harga ayam tiba-tiba dalam dua tiga hari ini meningkat, kalau dulu tak timbul isu ini. Bila restoran dan kedai ditutup, penjualan ayam berkurang, maknanya permintaan kurang dari penawaran yang sebabkan harga rendah tapi sekarang harga tinggi.

“Kerajaan ada mekanisme untuk menyekat kenaikan mendadak ini iaitu melalui Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan dan saya difahamkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan umumkan skim ini esok.

“Menteri maklum kepada saya bahawa esok akan diumumkan. Harga ayam akan dikawal, tak melebihi harga siling yang ditetapkan. Bukan saja ayam tapi pelbagai barang keperluan terutamanya yang banyak digunakan untuk sambutan Aidilfitri,” katanya.

Sumber: Astro Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/3bJdVmZ
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2ZgdP3E
via merahhaticintaku.blogspot.my

No comments:

Post a Comment